Ruangan Ibrah

Salam Kasih Sayang buat semua.Semoga semua sentiasa mendapat rahmat dari-Nya. Disamping kita menjaga kesihatan jasmani, dapatkan juga tips-tips bagi memelihara kesihatan rohani kita. In sya Allah.


Tips # 5 HAMBA ALLAH BUKAN HAMBA HARTA


 
Kita sering melihat material. Segala kerja yang kita lakukan, kita pasti hendakkan imbalan material. Kerja mesti ada gaji, buat baik mesti kena ada upah. Kita telah dididik sedemikian. Saat kita kesempitan wang, berada dalam kemiskinan, kita memohon-mohon untuk menjadi kaya, kita berusaha untuk mendapatkan harta. Dalam jiwa kita pada ketika itu, biasanya kita akan berniat pelbagai perkara. Apabila kaya aku hendak sedekah banyak, apabila kaya aku hendak tolong orang susah, apabila aku kaya… Tetapi apabila kita berjaya menjadi kaya, kita lupa, kita larut dalam kemewahan dan hilang di dalam timbunan harta. Selalunya orang kaya akan tinggal di rumah besar, mewah dan hanya memikirkan hal mereka sendiri. Mereka tidak duduk bersama orang miskin.

Pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu, ada seorang “hamba” yang teramat kaya. Hartanya sungguh banyak, tetapi sikapnya sungguh tidak melambangkan ia seorang kaya. Tidak banyak daripada kalangan kita yang memiliki akhlak sepertinya. Kayanya sehingga Rasulullah s.a.w sendiri berpesan kepadanya, “Abdurrahman bin Auf nanti akan memasuki syurga dalam keadaan merangkak”.

Namanya ialah Abdurrahman bin Auf. Dia teramat kaya. Teramat-amat kaya, tetapi tahukah kita bahawa dia seorang yang amat sederhana? Dia seorang pejuang di medan perang, malah dia adalah antara manusia berani yang menjadi dinding pertahanan kepada rasulullah s.a.w. pada saat kritikal Rasulullah s.a.w. di medan Uhud. 

Allah s.w.t telah memberikan Abdurrahman ini kekayaan yang banyak, sebagai nikmat dan ujian. Sebenarnya, pada pendapat saya, Allah s.w.t hendak menjadikan Abdurrahman bin Auf ini sebagai contoh teladan kepada manusia yang kaya di seluruh dunia. Abdurrahman bin Auf, kekayaannya yang sebenar bukan pada harta, tetapi kehambaanya kepada Allah s.w.t itu lebih banyak daripada hartanya.

Tahukah anda bahawa Abdurrahman bin Auf ini, ketika seruan untuk berhijrah ke Madinah telah dilaungkan, telah berangkat sehelai sepinggang tanpa membawa harta-hartanya? Hal ini untuk memudahkan perjalanannya agar tidak diganggu oleh kaum musyrikin Makkah. Ya, itu pengorbanan seorang Abdurrahman bin Auf. Di sini dia menunjukkan, dia ialah hamba kepada Ilahi, bukan kepada harta. Dia ialah anak-anak ukhrawi, bukannya hamba duniawi.

Hasilnya tahukah anda, apa yang Allah s.w.t balas kepadanya?

Samapai sahaja di Madinah, dia memulakan perniagaan baru, dengan modal yang amat rendah, dan modal itu dipinjam daripada sahabatnya. Dalam masa yang singkat, die telah memonopoli pasar perniagaan di Madinah dan menewaskan saingannya yang telah bertapak lama di situ iaitu kaum Yahudi. Dia telah menjadi kaya semula, sehinggakan pada suatu hari, seorang sahabat telah berkata,

“Wahai Abdurrahman, aku lihat hartamu terlalu banyak, bersedekahlah.”

Abdurrahman menjawab, “Aku sudah bersedekah.”

“Bagaimana hartamu masih banyak?”

“Bagaimana hartaku hendak berkurang? Aku infakkan hartaku pada siang hari sebanyak 1000 dinar, dan Allah s.w.t memberi aku 2000 dinar pada malam hari

Lihat…apakah yang Allah s.w.t berikan kepada Abdurrahman bin Auf ini. Dia telah meninggalkan hartanya dan pergi ke Madinah sehelai sepinggang demi menyahut arahan Allah s.w.t untuk berhijrah menyelamatkan keimanan, dan Allah s.w.t. memberikan semula harta-hartanya, bahkan menambah pula bilangannya.

Di sebalik kekayaannya, Abdurrahman bukan jenis manusia yang hidup bersenang-lenang dan menghulurkan duit untuk bersedekah sahaja. Dia turut serta dalam peperangan bersama Rasulullah s.a.w., malah kegigihan, kekuatan, dan ketabahannya terpamer di medan Uhud. Dia menjadi penghadang serangan yang ditujukan kepada Rasulullah s,a,w, lalu kaki kirinya ditikam sebanyak 21 tikaman sehingga tempang. Ya, inilah dia orang yang kaya, tetapi kehambaannya kepada Allah s.w.t itu lebih tinggi.

Apabila dia hendak makan, dia selalu akan bertanya, “Apakah yang Rasulullah s.a.w. makan?”

Pada suatu hari selepas Rasulullah s.a.w wafat, Sayidatina Aisyah sedang duduk bersama hamba sahayanya. Tiba-tiba terasa gegaran berlaku. Sayidatina Aisyah bertanya kepada hamba sahayanya apakah yang telah berlaku? Hambanya memberitahu,
         “Itu Abdurrahman bin Auf datang dengan 70 ekor unta merah yang semuanya penuh dengan muatan.” Unta merah ketika itu macam kereta paling mahal dalam dunia  sekarang.

Sayidatina Aisyah berkata, “Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Abdurrahman bin Auf nanti akan memasuki syurga dalam keadaan merangkak”.
Apabila sampai sahaja kata-kata Ummul Mukminin Aisyah ke telinga Abdurrahman bin Auf, dia terus bertemu dengan Sayidatina Aisyah.
“Aku akan memasuki syurga dalam keadaan berlari, maka persaksikanlah, 70 ekor unta itu bersama muatannya ku sedekahkan semua sekali di jalan Allah s.w.t.”
Nah, lihat. Apakah yang “hamba” ini lakukan? Allah s.w.t memberikan dia nikmat, tetapi dia sentiasa menggunakan nikmatnya itu untuk mengejar keredhaan Allah s.w.t, bukan hanya untuk kesenangan dunianya. Namun dalam kemurahan hatinya, Allah s.w.t tidak mengurangkan kekayaan, malah Allah s.w.t tambah, Allah s.w.t. tambah dan Allah s.w.t tambah lagi.

Abdurrahman pernah berkata pada suatu hari,

“Andainya aku mengangkat seketul batu, maka batu itu akan bertukar menjadi emas.” Hendak menyatakan betapa kayanya dia.
    Ah, siapa kata rugi menjadi “hamba”?
Tips # 4 Doa dibulan Ramadan

Hari Pertama
"Ya Allah, jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan maha pengampun daripada segala dosa."

Hari Kedua
"Ya Allah, dekatkan aku kepada keredaan Mu dan jauhkan aku daripada kemurkaan serta balasan Mu. Berilah aku kemampuan membaca ayat-ayat Mu dengan rahmat Mu, wahai Tuhan Maha Pengasih"

Hari Ketiga
"Ya Allah limpahkan aku dengan kecerdikan fikiran dan kewaspadaan serta jauhkan aku daripada kebodohan dan kesesatan. Sediakan bahagian ku daripada kebaikan yang kau turunkan, demi kemurahan Mu, wahai Tuhan Maha Pemurah daripada segala dermawan."

Hari Keempat
"Ya Allah berilah kekuatan kepada ku untuk melaksanakan perintah Mu dan berilah aku kemanisan berzikir. Berilah aku kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaan Mu. Dan jagalah aku dengan jagaan dan perlindungan Mu, wahai Tuhan Maha Melihat."

Hari Kelima
"Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang saleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya' (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisi Mu dengan kelembutan Mu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih."

Hari Keenam
"Ya Allah, janganlah aku dihina kerana perbuatan maksiat ku kepada Mu dan janganlah menyeksa ku dengan balasan Mu. Jauhkan aku daripada sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Mu, dengan anugerah dan bantuan Mu, wahai kemuncak keinginan orang yang berkeinginan."

Hari Ketujuh
"Ya Allah bantulah aku untuk mengerjakan puasa dan ibadah malamnya. Jauhkanlah aku daripada dosa-dosanya. Dan berilah aku zikir untuk mengingati Mu secara berterusan, dengan taufik (petunjuk) Mu wahai pemberi petunjuk kepada orang yang sesat."

Hari Kelapan
"Ya Allah, berilah aku rezeki berupa kasih sayang kepada anak-anak yatim, pemberi makanan, penyebar salam dan bergaul dengan mulia, dengan kemuliaan Mu tempat berlindung orang yang berharap."

Hari Kesembilan
"Ya Allah, sediakan bagi ku sebahagian daripada keluasan rahmat Mu. Berilah aku petunjuk dengan ajaran-ajaran Mu. Bimbinglah aku menuju keredaan Mu yang penuh dengan kecintaan Mu, wahai harapan orang yang merindu."

Hari Kesepuluh
"Ya Allah, jadikan aku di antara orang bertawakal kepada Mu dan jadikan aku di kalangan orang yang menang di sisi Mu. Ya Allah, jadikan aku di kalangan orang yang dekat di sisi Mu. Dengan ihsan Mu wahai tempat tuju orang yang memohon."

Hari Kesebelas
"Ya Allah, tanamkan dalam diri ku kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat serta fasik. Ya Allah jauhkan ku daripada kemurkaan Mu dan seksaan api neraka, dengan pertolongan Mu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan."

Hari Kedua Belas
"Ya Allah, hiasilah diri ku dengan penutup dan kesucian. Tutuplah diri ku dengan pakaian kesederhanaan dan kerelaan. Tempatkan aku di jalan keadilan dan keikhlasan. Amankan diri ku daripada setiap perkara yang aku takut, dengan penjagaan Mu, wahai penjaga orang yang takut."

Hari Ketiga Belas
"Ya Allah, bersihkan diri ku daripada kekotoran dan kehinaan. Berilah kesabaran kepada ku untuk menerima segala ketentuan. Berilah kemampuan kepada ku untuk bertakwa dan bergaul dengan orang baik, dengan bantuan Mu wahai pengharap orang yang miskin."

Hari Keempat Belas
"Ya Allah, jangan aku dihukum disebabkan kekeliruan yang ku lakukan. Ampunkan aku daripada kesalahan dan kebodohan. Janganlah kau jadikan diri ku sasaran bala dan malapetaka, dengan kemuliaan Mu wahai kemuliaan kaum Muslimin."

Hari Kelima Belas
"Ya Allah limpahkan rezeki kepada ku berupa ketaatan orang yang khusyuk. Lapangkan dada ku dengan taubat orang yang menyesal, dengan keamanan Mu wahai keamanan orang yang takut."

Hari Keenam Belas
"Ya Allah, berilah kemampuan kepada ku untuk menjalani kehidupan seperti mana kehidupan orang baik. Jauhkan bagi ku kehidupan orang yang melakukan kejahatan. Lindungilah aku dengan rahmat Mu hingga ke alam akhirat, demi ketuhanan Mu wahai Tuhan sekalian alam."

Hari Ketujuh Belas
"Ya Allah, tunjukkan bagi ku amal kebajikan dan penuhilah hajat serta cita-cita ku, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui segala keperluan tanpa ungkapan permohonan. Wahai yang Maha Mengetahui segala yang ada dalam hati sekalian makhluk. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarga baginda yang suci."

Hari Kelapan Belas
"Ya Allah, sedarkan aku untuk mencari keberkatan. Terangkan hati ku secerah cahaya dan bimbinglah aku serta anggota ku untuk mengikuti segala ajaran Mu, dengan cahaya Mu wahai penerang hati orang yang bijak."

Hari Kesembilan Belas
"Ya Allah, penuhkan bahagian ku dengan keberkatan dan mudahkan bagi ku menuju ke arah kebaikan. Jangan kau jauhkan aku daripada ketenteraman kebaikan, wahai pemberi petunjuk kepada kebenaran."

Hari Kedua Puluh
"Ya Allah, bukakan bagi ku pintu-pintu syurga dan tutupkan bagiku pintu-pintu neraka. Berilah kemampuan kepada ku untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran, wahai pemberi ketenangan dalam hati orang beriman."

Hari Kedua Puluh Satu
"Ya Allah, berilah aku petunjuk untuk mendapat keredaan Mu. Janganlah engkau biarkan syaitan menguasai diriku. Jadikan syurga tempat tinggal dan berehat bagiku, wahai pelaksana keperluan orang meminta."

Hari Kedua Puluh Dua
"Ya Allah, bukakan bagiku pintu kelebihan dan turunkan bagiku keberkatan Mu. Berilah kepadaku untuk melakukan sesuatu yang mendatangkan keredaan Mu dan tempatkan aku dalam syurga Mu yang luas, wahai penjawab doa orang dalam kesempitan."

Hari Kedua Puluh Tiga
"Ya Allah bersihkan aku daripada segala dosa dan jauhkan diriku daripada keaiban serta tanamkan ketakwaan dalam hatiku, wahai pengampun kesalahan orang yang berdosa."

Hari Kedua Puluh Empat
"Ya Allah, aku bermohon kepada Mu perkara yang mendatangkan keredaan Mu. Aku berlindung dengan Mu daripada perkara yang mendatangkan kemarahan Mu dan aku bermohon kepada Mu kemampuan untuk mentaati Mu serta menghindari kemaksiatan terhadap Mu, wahai pemberi kepada yang meminta."

Hari Kedua Puluh Lima
"Ya Allah, jadikan aku orang yang menyintai auliya' Mu dan memusuhi musuh Mu. Jadikan aku pengikut sunnah nabi Mu, wahai penjaga hati para Nabi."

Hari Kedua Puluh Enam
"Ya Allah, jadikan usahaku sebagai usaha yang sentiasa disyukuri, dosa-dosaku sebagai dosa yang diampuni, kebaikanku sebagai kebaikan yang diterima dan keaibanku sebagai keaiban yang ditutupi, wahai Tuhan Maha Mendengar daripada semua pendengar."

Hari Kedua Puluh Tujuh
"Ya Allah, berilah rezeki berbentuk ganjaran Lailatul Qadar kepadaku, ubahkan perkara sulit menjadi mudah, makbulkan permintaan maafku dan hapuskan dosa serta kesalahanku, wahai Tuhan Maha Penyayang kepada hamba soleh."

Hari Kedua Puluh Lapan
"Ya Allah, penuhkan hidupku dengan amalan sunnah dan muliakan aku dengan diterimanya semua permintaan, wahai Tuhan yang tidak disibukkan oleh permintaan orang meminta."

Hari Kedua Puluh Sembilan
"Ya Allah, hiasilah aku dengan rahmat Mu dan berikanlah aku petunjuk serta penjagaan Mu. Bersihkan hatiku dengan fitnah, wahai pengasih kepada hamba yang beriman."

Hari Ketiga Puluh
"Ya Allah, jadikan puasaku disertai dengan rasa syukur dan diterima oleh Mu melalui jalan keredaan Mu serta keredaan Rasul Mu, cabangnya yang kukuh dan kekuatan keberkatan, demi kenabian Muhamad SAW dan keluarga baginda yang suci dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam."



Tips # 3  4 tips kesihatan dari Nabi Muhammad SAW 
 





1. Nabi melarang umatnya minum berdiri. Ini kerana ternyata secara perubatan, dalam tubuh kita terdapat penapis dipanggil sfringer. Saringan tersebut dapat terbuka ketika kita duduk, dan tertutup ketika kita berdiri. Air yg kita minum belum 100% steril untuk di olah oleh badan. Bila kita minum sambil berdiri, maka air tidak tersaring oleh sfringer kerana tertutup. Air yg tidak tersaring oleh sfringer terus masuk ke pundi kencing, boleh menyebabkan penyakit batu karang.
2. Nabi juga melarang meniup air yg panas.. Logiknya kerana terdapat karbon dioksida (CO2) pada udara hembusan tersebut. Jika ditiup ke air maka CO2 itu akan larut didalam air akan menghasilkan cecair bersifat asid, H2CO3 (asam karbonat) yg menyebabkan penyakit jantung dan masaalah perut tidak selesa.
3. Nabi menggalakkan mandi sebelum waktu subuh kerana suhu air pada waktu tersebut dapat membantu membuang lemak-lemak degil dalam badan.
4. Nabi melarang makan diselang-seli dengan minum air kerana ia menyebabkan banyak udara terperangkap di dalam badan dan menyebabkan badan berangin.
Sentiasa ada hikmah disebalik larangan dan suruhan Rasulullah SAW. Jadi ikutlah walaupun sedikit, kerana sedikit yang dilakukan secara beristiqamah (berterusan) adalah lebih baik dari banyak tanpa istiqamah.
Wallahua'lam.


Tips # 2  Doa untuk mendapat kesihatan yang baik

Salam Kasih Sayang buat semua.Semoga semua sentiasa mendapat rahmat dari-Nya. Sama-sama kita amalkan doa ini.
 
 


Tips # 1 Mengingati Allah menenangkan hati

Surah al-A’raf ayat 205 - 206
 
Maksudnya

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka sujud.

 

No comments:

Post a Comment